Assalamualaikum dan salam sejahtera. Rasanya sudah lama sungguh tak buka blog ni..haaa hari ni baru la boleh nak update. Kali ni nak menceritakan kami satu keluarga untuk travel ke sabah. Ini pun sebab nak bagi anak merasa naik flight buat kali pertama.
Trip kami ialah pada 15 May 2017 sehingga 18 May 2017. Hampir 5 bulan juga kami membeli tiket flight.(tempah awal untuk dapatkan tiket murah) Bagi tau anak-anak kata nak ke Sabah untuk bercuti. Anak-anak apa lagi gembira la dengar nak naik flight. Tiap-tiap hari sebut nak naik flight sejak bulan Januari sehinggalah hari tibanya ke Sabah pada bulan 15 May 2017.
Bab duit biasa la...kalau nak ada seketul tu memang la xdapat nak cekau so mula la kami mengumpulkan modal untuk ke sana.Mula-mula survey tiket melalui travel agent dan total kos untuk percutian di Sabah. Fuhhh boleh tahan harganya total RM5000 lebih belum termasuk duit poket sendiri. Akhir sekali kami hanya menempah tiket flight melalui agent tersebut dengan menggunakan perkhidmatan Air Asia. 4 orang (2 dewasa dan 2 kanak-kanak) berjumlah RM1600 pergi dan balik. Bab hotel dan lain-lain kami cari sendiri dengan melawati blog-blog dan dari cerita kawan-kawan yang pernah ke sana.
Ok, maka bermulalah episod cari mencari dan survey harga hotel, kereta sewa dan tempat-tempat yang akan di lawati di sana dan menempah secara online.
HARI PERTAMA
Hari pertama kami adalah sehari sebelum penerbangan di mana kami bertolak dari Kangar,Perlis ke KLIA2 dengan menaiki kereta sendiri. Penerbangan pada keesokan harinya pada jam 9.35am. So dah datang awal kami bermalam di hotel berdekatan dengan KLIA2 iaitu Hotel Sri Langit lebih kurang 10km. Dah check in hotel semua pada petang tu kami keluar ke sekitar KLIA2 untuk melihat jalan supaya mudah perjalanan pada keesokan harinya. Kami memilih untuk letak kereta di parking KLIA2 untuk memudahkan urusan. Rate parking kereta di KLIA2 adalah RM46.00 sehari. Ok, dah try masuk parking semua test guna Touch n Go kami pun pulang ke hotel untuk berehat.(singgah petronas area KLIA2 untuk topup Touch n Go siap-siap).
Masa di Sri Langat Hotel
Anak-anak teruja melihat banyak replika kapal terbang.
HARI KE-2
Bangun awal dan kejutkan anak-anak maka bermulalah perjalanan kami di hari tersebut. Dah siap semua kami check out dan terus ke KLIA2. Sampai di KLIA2 kami cari parking yang mudah menghubungkan dengan balai pelepasan/ketibaan. Pusing-pusing cari parking akhirnya dapat parking di level P7. Kami terus angkat beg dan teruskan ke kaunter s. Oleh kerana kami dah check in online tiket flight. Jadi lebih mudah cuma kami print semula boarding pass dan bag tagging di mesin. Mudah dan menjimatkan masa. Terus bawa beg semua ke kaunter drop baggage. selesai... Alhamdulillah.
Sementara menunggu flight kami mengambil kesempatan untuk sarapan pagi di KFC. Malas dah nak fikir nak cari makan kat mana. So kat situ dapat rehat sambil menikmati hidangan KFC.
Menunggu flight ke Sabah
Ok. Dah selesai makan. Jam pun dah menunjukkan waktunya. Jom naik flight. Semua dah tak sabar nak ke Sabah. Anak-anak pula teruja kali pertama nak naik kapal terbang. Akhirnya semua dah naik kapal terbang. penerbangan memakan masa selama 2 jam 30 minit. Kami berlepas kira-kira jam 10 pagi lewat 25 minit seperti yang dijadualkan.
Semasa penerbangan
Lebih kurang jam 12.30 tghari penerbangan kami tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Dah selamat mendarat semua dan keluar ke balai ketibaan saya terus menelefon penghantar kereta sewa yang saya telah booking sebulan awal. Rupanya beliau tiba lebih awal dan menunggu kedatangan kami. Fuhhh, bagus betul. sampai tepat pada masanya. +6013-540 0011 Syafiq (no telefon tuan empunya kereta sewa). pekerja yang datang menghantar kereta sewa tersebut bernama Alex (+6016-827 5047). Kereta sewa yang kami sewa adalah RM100/sehari.
Balai Ketibaan di KKIA
Dah masukkan barang-barang dan beg semua ke dalam kereta kami pun memulakan perjalanan ke Kundasang. Keluar sahaja dari KKIA kami singgah di stesen minyak petronas dan mengisi minyak penuh.(pesanan dari kawan-kawan yang pernah datang ke Sabah). So boleh terus sampai ke Kundasang. Dah selesai isi minyak semua dan beli sedikit makanan, kami pun meneruskan perjalanan ke tempat yang ditujui. Kami menggunakan maps gps untuk tunjukkan arah jalan, maklumla belum pernah sampai Sabah.hehehe.
Perjalanan ke Kundasang mengambil masa lebih kurang 1jam 30minit. jalan ke sana pada mulanya berjalan lancar tapi sampai hampir separuh jalan jalan semakin curam dan perlu naik bukit serta melaui jalan yang berliku-liku. (Lebih kurang jalan Grik ke Jeli). Ditambah pula dengan keadaan semasa iaitu hujan lebat dan kabus tebal. Fuhhh...tak nampak jalan, paling laju hanya 40km/h. Kami dengan berhati-hati meneruskan perjalanan dan akhirnya kami tiba di tempat penginapan iaitu Ayana Holiday Resort lebih kurang jam 4.15pm. Tapi pada masa tu pun hari dan semakin gelap dan kami cepat check in dan berehat. Suasana di resort tersebut cantik serta permandangan sekeliling yang amat menarik di selang seli dengan kabus. Dah berehat dan bersihkan diri serta solat, kami bersiap-siap untuk keluar mencari makan malam.
View Ayana Holiday Resort
View dari tingkap bilik yang kami menetap
Kami keluar mencari tempat untuk makan malam dan akhirnya berjumpa dengan satu kedai makan yang bertentangan dengan Kinabalu Park iaitu Panataran Kinabalu Restaurant. InsyaAllah makanan dijamin halal. harga boleh tahan, maklumla di atas gunung ni mana nak jumpa kedai yang murah-murah. Dah selesai makan, kami terus pulang ke bilik untuk rehat disebabkan letih mengharungi hampir separuh hari perjalanan.
HARI KE-3
Pada jam 5.30am dah bangun mandi dan solat. Waktu di Sabah lebih awal dari semenanjung. Dah siap semua kami keluar untuk tempat tujuan asal iaitu Desa Cattle Dairy Farm, Kundasang. kami keluar lebih kurang jam 7.00am untuk ke tempat tersebut. Untuk ke sana kita akan melalui Kundasang Township di mana kita akan berjumpa round about. Di situ eloklah topup semula minyak kereta full tank untuk memudahkan perjalanan. Di sini view gunung kinabalu dah kelihatan dan sangat cantik. Kami berhenti sekejap merakamkan saat-saat indah tersebut.
View area Kundasang Township
Kami meneruskan perjalanan ke Desa Cattle Dairy Farm beberapa kilometer dari lokasi kami bergambar tadi. Jalan ke sana agak curam dan sedikit bahaya. Akhirnya kami sampai di pintu utama untuk masuk ke tempat tersebut. Masa sampai terlihat ramai orang berkumpul, rupanya tempat tersebut masih belum buka. Waktu melawat tempat tersebut adalah jam 8.00am dan kami sampai sedikit awal. Di situ kami mengambil kesempatan untuk bergambar kerana view yang agak cantik di awal pagi yang menampakkan gunung kinabalu.
Bergambar sebelum masuk ke Desa Cattle Dairy Farm
Jam 8.00am, semua bergegas masuk ke dalam kereta, beratur mengikut giliran membeli tiket. Harga bagi tiket dalam RM3.00 seorang. Budak-budak percuma. kami meneruskan perjalanan ke dalam ladang tersebut dan akhirnya sampai. Parking kereta dan keluar bersiar-siar di sekeliling tempat tersebut. Apa yang menariknya disini adalah permandangannya yang cantik menghadap Gunung Kinabalu ditambah pula dengan adanya lembu-lembu seperti di New Zealand yang menhidupkan suasana ditempat tersebut. Kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar detik-detik dan saat indah tersebut.
Bergambar dengan lembu ala-ala New Zealand
Bergambar bersama isteri tercinta
Gunung Kinabalu dah tak nampak sebab kabus
Banyak lagi gambar disini, nanti saya sertakan di bawah.
Di ladang ini juga terdapat kawasan perahan susu lembu. Kami berkesempatan untuk melihat bagaimana susu lembu diperah dan di proses.
Tempat perahan susu lembu
Setelah selesai melawat Desa Cattle Dairy Farm kami teruskan perjalanan ke Poring Hot Spring, Ranau. Semasa perjalanan ke sana, kami singgah di Kundasang Township untuk membeli sarapan pagi. Bagi menjimatkan masa kami bersarapan di dalam kereta. Nak cari kedai makan memang susah nak jumpa.
Untuk ke Poring Hot Spring jarak dari Kundasang Township adalah lebih kurang 28km. Jalan ke sana dengan menuruni bukit. kami melalui Pekan Ranau. Apa yang menarik perhatian kami, di Sabah kebanyakan tidak mempunyai simpang tetapi lebih banyak mempunyai round about. Sekitar perjalanan juga kita akan ternampak banyak signboard Gereja di tepi-tepi jalan.
Lebih kurang 20minit hingga 30 minit perjalanan akhirnya kami sampai ke tempat yang ditujui iaitu Poring Hot Spring. Tiket masuk bagi tempat ini adalah RM3.00 seorang bagi dewasa dan percuma bagi kanak-kanak. Apa yang menarik tempat ini selain kolam air panas adalah tempat ini mempunyai taman-taman di dalamnya salah satunya adalah taman rama-rama. Tempat menarik yang kami lawati di dalam Poring Hot Spring adalah Titi Gantung. Jalan ke titi gantung tersebut agak mencabar di mana kita perlu mendaki bukit lebih kurang 150 meter sebelum tibanya di titi gantung tersebut. Harga tiket bagi titi gantung adalah RM3.00 seorang bagi dewasa dan percuma bagi kanak-kanak.
Senarai Harga Tiket
Setelah sampai di titi gantung tersebut kami menyerahkan tiket kepada penjaga tiket masuk ke titi gantung tersebut. satu-satu masa titi gantung tersebut boleh dilalui oleh 6 orang. bagi kami titi gantung tersebut agak tinggi dan gayat kerana ketinggiannya mencecah 250meter.
Agak tinggi dan gayat
Keadaan di atas Titi Gantung
Selepas merentasi titi gantung tersebut, kami bergegas turun ke bawah. Masing-masing di dalam keletihan disebabkan mendaki bukit pada awal sebelum merentasi titi gantung.
Keadaan semasa menuruni bukit selepas titi gantung.
Setelah selesai menuruni bukit dan titi gantung, kami singgah sebentar di Kolam Air Panas. Memang ramai orang disini terutamanya pelancong asing. Anak-anak apa lagi, nampak je kolam terus minta nak mandi. So bagi anak-anak mandi seketika sehingga puas dan lepas tu kami bersiap-siap untuk bertolak segera ke Kota Kinabalu. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di kedai makan berhampiran jalan keluar Hot Spring. Harga makanan di sini agak mahal contohnya nasi goreng USA berharga RM16.00. tetapi oleh kerana lapar kami terpaksa beli untuk alas perut sementara hendak sampai ke Kota Kinabalu. kami meneruskan perjalanan dengan segera untuk mengelakkan hari senja dan malam. Seperti masa datang ke Kundasang, keadaan hujan dan kabus tebal melitupi jalan utama. kami memandu dengan berhati-hati dengan keadaan jalan yang licin.
Bergambar sebelum balik ke Kota Kinabalu
Harga makanan dan minupan di kedai tepi jalan
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebelum tiba di Kota Kinabalu, kami sempat singgah di Jambatan Tamparuli (gambar tak sempat ambil sebab keadaan hujan lebat). kami hanya melawat dan melihat keadaan sekitar jambatan tersebut. Kami meneruskan perjalanan dan tidak jauh dari jambatan tamparuli kami singgah di Rumah Terbalik. Tiket untuk rumah terbalik adalah RM10.60 bagi seorang dewasa. Kamera tidak dibenarkan di dalam rumah terbalik. Agak kecewa kerana hanya mampu melihat di sekitar dalam rumah terbalik tanpa kenangan. Di luar rumah terbalik tersebut ada beberapa loakasi untuk bergambar sebagai kenang-kenangan tetapi tidak berapa menarik. Boleh la sekadar kenangan kata pernah datang ke rumah terbalik tersebut. hujan masih renyai-renyai. kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu.
Rumah terbalik
Lebih kurang jam 4.15pm kami akhirnya sampai di Kota Kinabalu dan kami terus ke tempat penginapan yang telah kami booking. kami telah memilih Promenade Service Apartment sebagai tempat untuk kami bermalam. Harga berpatutan (RM200 lebih kurag 1 malam) dan lokasi ke kawasan sekitar juga amat dekat untuk di kunjungi seperti Pasar Philipine, restoren Makanan Laut, dan Jetty Point untuk ke pulau-pulau.
Setelah check in, di dalam keadaan keletihan hampir seharian perjalanan, kami mengambil keputusan untuk berehat dan solat di bilik. Pada malamnya kami keluar untuk makan malam dengan hanya berjalan kaki ke restoran makanan laut yang berhampiran tempat penginapan. Tapi makan malam kami agak kecewa kerana harga yang agak mahal dan tidak semurah yang kami harapkan.(Kalau yang pernah pergi tu tak perlulah viralkan kata harga makanan murah di SABAH!!!!!).
HARI KE-4
Kami meneruskan perjalanan ke pulau-pulau menarik di Sabah. Kami bercadang untuk menaiki teksi sahaja ke jeti di Jesselton Point untuk memudahkan kami ke jeti di samping tidak perlu mencari parking.( Harga bayaran teksi RM15.00 sahaja ke destinasi sekitar). Kereta sewa tak bergerak selama dua hari(rugi RM200 untuk 2 hari sewa kereta sebab naik teksi lagi murah).
Untuk ke pulau, prosesnya amat mudah. Kami hanya perlu ke kaunter dan memilih mana-mana agensi yang menawarkan pakej ke pulau. Jangan risau, kebanyakan agensi menawarkan harga dan perkhidmatan yang hampir sama. Kami memilih agensi dan memilih untuk pergi 2 pulau sahaja. Pulau yang kami pilih adalah Pulau Sapi dan Pulau Manukan lebih kurang RM36.00 seorang. Harga jaket dan harga snorkle untuk di sewa pula RM10 masing-masing setiap satu..
Di Jetty Point
Jetty Point
Kami bertolak ke Pulau Sapi dan Pulau Manukan
Naik bot ke Pulau Sapi dan Pulau Manukan
Mula-mula kami dibawa ke Pulau Sapi. Oh, jangan lupa, silalah bawa bekal makanan ke pulau kerana makanan di pulau adalah sangat mahal. Dan bot pertama akan berlepas seawal 8.30 pagi, Jangan sampai terlalu awal di jeti kerana nanti terpaksa menunggu lama.
Pulau Sapi
Tiba di Pulau Sapi, tiket RM3 seorang dikenakan untuk pulau yang pertama. Kami dah tak sabar untuk menikmati keindahan Pulau Sapi, Di sana kami membawa bekal roti dan memberi makan ikan. Memang penuh ikan mengerumuni kami dengan umpan roti yang kami tabur. Anak-anak lah yang paling seronok tengok ikan-ikan berenang sekeliling hingga cuba untuk menangkap ikan-ikan itu.Namun, menjelang tengah hari, mungkin ikan-ikan dah kenyang dan tidak lagi mengerumuni kami walaupun diumpan roti.
Kaunter Tiket di Pulau Sapi
Pulau Sapi
Menjelang tengah hari, masing-masing sudah letih.Kami menukar pakaian di bilik persalinan. Jangan terkejut jika melihat ramai pelancong luar datang ke kawasan ini seperti pelancong dari Korea. Kami sempat bertegur sapa dengan salah seorang pelancong dari sana.
Setelah selesai di Pulau Sapi, kami di bawa pula ke pulau sterusnya iaitu Pulau Manukan. Masa sampai kami amat kelaparan dan terpaksa singgah di kedai yang terdapat di pulau dan membeli sedikit makan. Harga memang mahal tapi dah perut pun berbunyi kami terpaksa beli.
Jetty Pulau Manukan
Pulau Manukan
Di pulau ini airnya lebih jernih berbanding Pulau Sapi dan suasana lebih menarik dimana kawasan teduh yang banyak dan mempunyai banyak kerusi untuk berehat. Di sini pelancong lebih suka bersantai oleh kerana sudah letih beraksi dan beriadah di Pulau Sapi. Jadi kami mengambil keputusan untuk bersiar-siar sahaja di pulau ini. Cuma anak-anak tak tahan nak juga main air.
Jernih air di Pulau Manukan
Jam 2.00pm bot datang mengambil kami dan terus pulang ke Jetty. Sampai di Jetty kami menggunakan perkhidmatan teksi untuk balik ke tempat penginapan(RM15.00 sahaja). Semua dah letih so kami mandi-mandi dan berehat kerana selepas solat maghrib kami akan ke Pasar Filipine yang tak jauh dari tempat kami menginap.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Selepas azan berkumandang, kami siap-siap dan solat kami terus mendapatkan teksi (RM15.00) untuk ke Pasar Filipine. Keadaan semasa tu hujan tengah renyai-renyai. Sampai di sana kami mengambil keputusan untuk makan malam sebelum shopping. Dah selesai makan malam, kami memulakan langkah ke gerai dan kedai-kedai yang menjual mutiara seperti gelang, rantai, dan sebagainya. Fuhhhh, rambang mata dibuatnya. Harga pulak murah dan berbaloi. Isteri saya pula apa lagi, terus memborong sakan la. Beli cenderahati untuk keluarga dan kawan-kawan sekerja. Saya juga mengambil peluang tersebut untuk membeli cenderahati kepada kawan-kawan sekerja seperti gelang dan buatang baju melayu yg bertatahkan mutiara.
Dah puas shopping semua,kami bergerak keluar dan melalui tempat makanan laut yang dibakar seperti yang diviralkan oleh rakyat Malaysia. nampak menarik dan makanan laut yang mewah seperti lobster,udang besar, siput shell scallop dan sebagainya. Tapi kami mengambil keputusan untuk tidak makan kerana makanan tersebut nampak terbiar kerana sudah siap dibakar dan akan dipanaskan semula jika ada pelanggan yang memesan makanan tersebut. Hujan masih belum berhenti, kami mengambil keputusan untuk pulang ke tempat penginapan. (Naik teksi RM15.00). So maka selesailah aktiviti pada hari tersebut.
Seafood di pasar Philipine
HARI KE-5 (HARI TERAKHIR)
Hari terakhir kami disini. kami mengemas semua barang-barang dan keluar awal. Pusing-pusing di sekitar Kota kinabalu dan mencari sarapan pagi. Selesai sarapan pagi kami bergerak ke carwash kerana kereta yang kami sewa amatlah kotor. Selesai cuci kereta kami teruskan perjalanan ke permandangan indah di Kota Kinabalu. Terdapat sebuat bukit yang menampakkan view Kota Kinabalu. Laut tidak dapat dilihat kerana telah terlindung dengan bangunan-bangunan yang tinggi.
Permandangan sebahagian Kota Kinabalu
Akhirnya, kami pun dah malas untuk pusing-pusing di Kota Kinabalu, kami mengambil keputusan untuk terus ke airport. Masa sampai di airport saya menghubungi pekerja kereta sewa untuk menghantar semula kereta tersebut. Alhamdulillah selesai dan berpuas hati dengan servis kereta sewa yang diberikan. Kereta tiada masalah sepanjang perjalanan kami di sini.
Lebih kurang jam 4.00pm kami check in dan dah bersemangat untuk pulang ke semenanjung. flight kami lebih kurang 5.35pm. Dan sampai waktunya kami pon berlepas balik ke KLIA2. Alhamdulillah akhirnya selamat sampai ke KLIA2 pada jam 8.30pm.
Kami mengambil barang-barang dan terus pulang ke kampung halaman.
_________________________________________________________________________________
Gambar-gambar sekitar Kundasang dan Kota Kinabalu :
Sedikit coretan ringkas.
Gambar yang diambil adalah menggunakan kamera GOPRO HERO 4
* Pergi sendiri lebih jimat dari mengambil pakej percutian. Jimat RM1000++
* Cadangan sapa-sapa yang nak ke sana lebih baik sewa kereta untuk tempoh sehari sahaja iaitu dari airport ke Kundasang dan pulang semula ke Kota Kinabalu. Hari seterusnya sewa jer teksi.
* Pulau-pulau di Kota Kinabalu kita boleh pilih nak ke pulau mana. Saya cadangkan Pulau Sapi dan Pulau Manukan.
*bab harga makanan tu kalau teringin makanan laut bawa duit lebih sikit. Lobster seekor 1kg pun RM180.00
*Tempat penginapan cari yang bajet dan murah pun dah memadai melainkan anda kaya.
*Masa ke Kundasang pastikan isi minyak kereta siap-siap. Kalau boleh fulltank.
*Guna teksi kalau nak ke tempat yang berhampiran dengan tempat penginapan. Mudah dan tidak perlu fikir pasal parking.